fbpx
The Icon of the Seas merupakan kapal penumpang terbesar di dunia pada masa ini dan merupakan kapal kelima terbesar dunia.

5 kapal terbesar dunia, semua lebih besar daripada Titanic!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAPAL laut menjadi medium pengangkutan yang telah digunakan sejak zaman berzaman untuk memuatkan sama ada barangan atau penumpang yang menuju ke pelbagai lokasi di seluruh dunia.

Seiring kemodenan teknologi, kapal-kapal ini dibina dengan menampilkan ciri-ciri lebih canggih dan memukau sehingga memberi kepercayaan kepada orang ramai untuk belayar di lautan dalam tempoh lebih lama dan jarak lebih jauh. Kapal mempunyai pelbagai peranan.

Ada kapal berfungsi sebagai kapal tangki minyak, kapal pengangkut barangan dan kapal penumpang seperti kapal persiaran. Saiz kapal yang besar menunjukkan ‘kekuasaan’ berdepan gelombang lautan.

Minggu ini CitaRasa rangkumkan lima kapal laut terbesar hasil tinjauan di beberapa laman antaranya Howstuffworks dan Times Of India.

1- Seawise Giant (458.46 meter)

SEAWISE Giant memegang gelaran kapal laut terbesar yang pernah dibina dengan panjang 458 meter (m) dan berat 564,763 tan. Kapal tangki minyak gergasi ini mampu mengangkut lebih 4.5 juta tong minyak mentah. Ia telah beroperasi selama beberapa dekad sebelum ‘bersara’ pada 2010. Kapal ini dibina pada tahun 1970 oleh Sumitomo Heavy Industries di Jepun yang menjadi projek mahal untuk pemilik kapal dari Greece tetapi selepas mereka meninggalkan projek itu, ia telah dibeli dan diperbesar oleh syarikat perkapalan Hong Kong C.Y. Tung yang memberikan nama Seawise Giant. Selain itu, ia turut dikenali sebagai Knock Nevis. Kapal ini juga pernah mengalami kerosakan semasa perang Iran-Iraq sebelum dibina semula.

2- Batillus Class (414.22m)

DI kedudukan kedua adalah kapal tangki minyak Batillus Class yang merupakan antara kapal tangki super terbesar pernah dibina. Kapal ini mempunyai ukuran panang 414m dan mampu membawa 553,662 tan minyak.
Dibina di dok Bassin C limbungan Chantiers de l’Atlantique di Perancis pada penghujung 1970-an, ia meliputi set empat kapal yang menetapkan piawaian baharu bagi kecekapan pengangkutan minyak. Namun, keempat-empat kapal itu telah ditamatkan perkhidmatan kurang 10 tahun beroperasi susulan kos penyelenggaraan yang tinggi.

3- Esso Atlantic/Pacific (406.57m)


SETERUSNYA, Kapal Esso Atlantic/ Esso Pacific ialah kapal tangki minyak gergasi yang dibina untuk ExxonMobil iaitu sebuah syarikat minyak dan gas multinasional milik Amerika Syarikat yang beribu pejabat di Spring, Texas.
Kedua-dua kapal ini siap dibina pada 1977 mempunyai ukuran lebih 406m panjang dan kapasiti berat 516,000 tan, menjadikannya antara kapal terbesar pada zamannya. Kapal-kapal ini memenuhi keperluan pengangkutan minyak global sehinggalah ia bersara dan dilupuskan pada awal tahun 2000.

4- Pioneering Spirit (382m)


DI tangga keempat adalah The Pioneering Spirit iaitu kapal kren terbesar di dunia dengan panjang 382m. Ia direka khas untuk memasang dan mengalihkan platform minyak dan gas yang besar. Kapal ini boleh mengangkat struktur berat sehingga 48,000 tan. Ia dibina di Korea Selatan oleh Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (kini Hanwha Ocean) pada 2013 dan dimiliki oleh Allseas Group yang berpangkalan di Switzerland. Ia direka sebagai kapal pengangkut yang melupuskan platform minyak dan gas yang besar serta saluran paip.

5- The Icon of the Seas (365m)

KELIMA ialah The Icon of the Seas yang dilancarkan pada 2024 oleh Royal Caribbean International. Kapal ini merupakan satu-satu kapal penumpang dalam senarai ini. Ia mempunyai berat 250,800 tan dengan kapasiti 7,600 penumpang lantas menjadi kapal persiaran terbesar di dunia sekali gus, kapal penumpang terbesar dalam sejarah. Ia mempunyai panjang 365 meter dan rasuk 66 meter. Bahkan, saiz The Icon of the Seas jauh lebih besar dan lebih berat daripada kapal Titanic. Titanic hanya memiliki panjang 269m.
‘Resort terapung’ ini belayar dari Miami, Florida ke pelbagai pelabuhan persinggahan di Laut Caribbean.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI