PETALING JAYA – Peralihan Malaysia ke arah pembangunan hijau dan mengurangkan pelepasan karbon dapat dilakukan dengan cepat melalui dana kelestarian alam yang diperuntukkan kerajaan menerusi Belanjawan 2026.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan berkata, Belanjawan kali ini turut memperuntukkan sebanyak RM2.38 bilion meningkat 5.3 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, ia membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh agenda kelestarian dan memacu penggunaan teknologi hijau ke arah ekonomi rendah karbon dan mampan.
“Belanjawan memperluas penggunaan teknologi hijau tempatan, termasuk melalui peluasan Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau untuk Kegunaan Sendiri sebanyak 100 peratus kepada syarikat yang menggunakan produk berteknologi hijau buatan tempatan diiktiraf oleh MyHIJAU Mark.
“Kerajaan turut membuka semula Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 5.0) sehingga 31 Disember 2026 dengan nilai pembiayaan RM1 bilion, termasuk jaminan kerajaan sehingga 80 peratus bagi sektor sisa dan 60 peratus bagi sektor lain,” kata kenyataan itu.
Menurut NRES, ia selaras dengan aspirasi mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Tambahnya, kerajaan juga akan memperkenalkan Cukai Karbon dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga, yang pelaksanaannya diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal tahun depan.
“Dalam usaha melindungi khazanah alam, kerajaan menyalurkan RM250 juta bagi Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT)untuk membantu negeri-negeri memulihara alam sekitar termasuk RM50 juta sebagai hasil tambahan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Ujar NRES, sebanyak RM80 juta turut diperuntukkan untuk menampung 2,500 renjer komuniti terdiri daripada lebih 1,000 Orang Asli dan hampir 700 veteran bagi melindungi habitat haiwan terancam seperti Harimau Malaya dan Orang Utan.
Kerajaan turut menggalakkan gaya hidup lestari apabila pelepasan cukai individu sebanyak RM2,500 diperluas bagi pembelian mesin rincih sisa makanan, bagi mengurangkan sisa ke tapak pelupusan.
Dalam sektor pelancongan, lebih RM700 juta disediakan termasuk RM25 juta bagi memulihara tapak warisan UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu, Lembah Lenggong dan FRIM Forest Park.
Langkawi kekal menjadi destinasi geopelancongan utama negara dengan pembangunan Kilim Geoforest Park serta laluan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.
NRES dalam kenyataannya berkata, peruntukan yang diumumkan membuktikan kesungguhan kerajaan memacu pembangunan negara secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa depan.- KOSMO! ONLINE.