KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan berharap pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) dan projek tebatan banjir dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut jadual sepanjang 2026.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kedua-dua projek itu merupakan projek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat.
Menurutnya, selain itu, projek-projek yang telah diluluskan, tetapi masih berstatus belum dimulakan melalui Rancangan Malaysia terdahulu dapat dilaksanakan sepanjang tahun depan demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.
“Projek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat seperti pembinaan Lebuh Raya KB-KK selain projek tebatan banjir diharapkan dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut jadual sepanjang 2026
“Ia termasuk projek-projek yang telah diluluskan, tetapi masih berstatus belum dimulakan melalui Rancangan Malaysia terdahulu demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, Belanjawan 2026 telah mengumumkan beberapa peruntukan penting ke arah memperkukuh pembangunan jangka panjang untuk Kelantan.
Menurutnya, antara projek baharu yang menjadi keutamaan adalah naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang dan naik taraf landasan kereta api Pasir Mas – Rantau Panjang.
“Selain itu, Belanjawan 2026 turut melibatkan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek jalan utama Kubang Kerian-Bachok dan Pasir Mas-Salor, Sistem Saliran Bandar Baru Tunjong, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong serta Sistem Bekalan Air Luar Bandar di Pasir Mas.
“Turut memberi manfaat kepada Kelantan adalah projek Loji Rawatan Air Machang, pelaksanaan Program Non-Revenue Water dan pelbagai inisiatif lain untuk kemakmuran rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menzahirkan harapan agar lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat diberi perhatian di bawah fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13.
Menurutnya, kedua-dua sektor itu mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan. – KOSMO! ONLINE