JOHOR BAHRU – Lima murid Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, di sini dijangkiti Influenza A.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Azman Tamin berkata, selain itu, seramai 15 murid sekolah sama menunjukkan gejala jangkitan.
Katanya, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) turut disahkan positif Influenza A.
“Sementara itu, enam guru dan dua PPM lain bebas jangkitan dan dibenarkan bertugas seperti biasa.
“Berikutan itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mengeluarkan notis penutupan kelas PPKI selama 10 hari bermula 8 Oktober 2025 pukul 12.20 tengah hari hingga 17 Oktober ini.
“Notis penutupan ini dilaksanakan mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan kawalan dan pencegahan penularan penyakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aznan berkata, susulan itu, semua guru, murid dan PPM yang dijangkiti telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari bermula semalam hingga 18 Oktober ini.
Katanya, pihak sekolah juga telah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi di kawasan terlibat.
Warga sekolah yang bergejala pula diingatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan tidak hadir ke sekolah sehingga sihat sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE