fbpx
Suasana pagi di jeti di pekan lama Port Dickson (kiri). Faiz Karim membuka gelanggang dengan seekor talang menggunakan heavy sinking minnow (kanan).

Pecutan padu ikan-ikan di selat sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Port Dickson (PD), Negeri Sembilan sentiasa menjadi tumpuan kerana keunikan pengalaman memancing yang ditawarkan terutamanya buat kaki jigging. Selain itu, lokasi ini terletak berdekatan Lembah Klang, sekali gus memudahkan pemancing untuk pergi balik hari.

Baru-baru ini, saya turun sekali lagi ke PD bersama-sama Editor Gewang, Faiz Karim dan tiga orang pempengaruh yang sering menghasilkan video di laman TikTok, Nazrul Syafiq Mazlan (Ayad), Mohd. Zareefkhan Esa (Khan) dan Muhammad Asri Baharum (Asri).

Tekong Bang Catt

Apabila berbicara tentang jigging di Port Dickson, nama tekong Bang Catt (BC) yang juga dikenali di dalam laman Facebook sebagai Azrin Mohd. pasti akan kedengaran. Ini kerana, dia merupakan antara tekong tempatan cukup berpengalaman membawa kaki pancing di perairan PD terutamanya dengan teknik jigging.

Reputasinya bukan sahaja kerana kepakaran membaca arus dan cuaca, malah kerana sikap mesra serta kesungguhan membantu pemancing untuk mendapat hasil memuaskan.

Antara perkara menarik tentang trip bersama BC adalah kebijaksanaannya menyesuaikan teknik dengan keadaan semasa.

Misalnya pada trip kami ini, cuaca redup hampir sepanjang hari, jadi BC menyarankan kami menggunakan jig yang dipasang assist hook di atas dan tambahan satu mata tiga di bahagian bawah untuk meningkatkan kadar hook-up.

Logiknya mudah, pemancing boleh terus main dua gaya unjunan dalam sekali labuhan jig ke dasar.

Mula-mula jig akan diangkat secara perlahan-lahan (slow jigging) untuk beberapa ketika, dan jika tiada sambaran daripada ikan dasar seperti jenahak atau kerapu, jig akan terus dihenjut laju naik ke permukaan untuk mencari spesies ikan pelagik pula seperti tenggiri, talang dan gerepoh.

Jika kena pada air dan waktunya, double strike kerap terjadi.

BC cukup dikenali sebagai tekong yang sangat berdisiplin, botnya sentiasa bersih dan tidak suka sampah dibuang merata. Joran dan kotak pancing pelanggan juga perlu disusun dengan rapi. Ini supaya pemancing tidak menjadi kelam-kabut jika kena ikan.

Malah, dia turut terkenal dengan sikap tidak menunggu terlalu lama di satu-satu lubuk. Sekali atau dua kali jig diturun dan dinaikkan tanpa sambaran, dia akan segera berpindah ke lubuk lain.

Dibuli

Ketika trip kami tempoh hari, keadaan air baru hendak berubah besar dan kebetulan pula keadaan air laut juga jernih. Cuaca juga men­dung dan redup sepanjang hari.

Beberapa lokasi awal yang di­­singgahi tiada apa yang menyambar, kemudian kami jumpa satu gerombolan ikan sedang frenzy.

Saya dan Faiz Karim terus mengubah strategi daripada jigging ke mengilat menggunakan gewang jenis heavy fast sinking minnow.

Tuan editor terus hook-up seekor talang pada lemparan pertama sahaja. Kemudian, giliran saya pula dikejutkan dengan satu henjutan kuat di tepi bot, namun disebabkan lambat strike, si pelaku meloloskan diri.

Pada mulanya, saya mengesyaki pelaku merupakan ikan talang, namun setelah diperiksa keadaan gewang, terdapat kesan digigit yang dalam. Sah, ini memang si tenggiri punya angkara.

Pada masa sama, Ayad dan Khan berjaya menaikkan talang serta tenggiri bunga dengan teknik cast-jig menggunakan jig berat antara 80 hingga 100 gram (g).

Ketika saya sedang asyik memainkan gewang, secara tiba-tiba satu henjutan kuat terasa di hujung tali, ikan memecut laju dan beberapa saat selepas itu tali terus ‘meletup’ kerana ia bersilang di dalam gelen­dung kekili Abu Revo Black 10.

Kejadian tersebut membuatkan saya terkilan di atas kesalahan sendiri kerana tidak memeriksa keadaan tali sebelum melontar gewang.

Selepas itu, beberapa kali jig kami dihentam dan dicukai oleh sang tenggiri, namun tiada satu pun yang tercangkuk mata kail.

Lubuk dua teknik

Walaupun ikan masih lagi sedang frenzy, namun tiba-tiba tekong menyarankan kepada kami berpindah kepada ikan dasar kerana arus sudah berubah menjadi perlahan.

Di sini, saya memilih jig jenama Toxic warna pink 80g, beberapa kali melakukan aksi jerking terasa kepingan jig tersebut digetu, saya terus strike.

Joran Bullzen PE2-4 melengkung menahan asakan, bunyi nyaring yang terhasil menandakan drag menjadi ‘cair’.

Ayad menahan asakan ikan yang kasar sambil dinasihati tekong cara-cara bertarung dengan ikan.

Sekali lagi saya terus berputih mata, ikan berjaya meloloskan diri.

Asri yang dari awal belum berhasil menaikkan ikan, berjaya menaikkan seekor talang. Ayad tidak ketinggalan apabila jig 100g profil panjang warna pelangi daripada Hayaku disambar seekor jenahak yang boleh tahan saiznya.

Di lokasi ini, banyak peluang dibazirkan kerana ikan terlucut.

Sebelum pulang, BC membawa kami ke lokasi terakhir. Tempat ini dihuni oleh ikan pelagik bersaiz kasar, antaranya adalah gerepoh, gerong belang, tenggiri dan ebek.

Ebek gincu kuning

Sememangnya ‘tuah’ sentiasa menyebelahi pemancing baharu, Ayad yang baru pertama kali turun jigging di PD menurunkan jig warna pelangi seberat 150g yang dimainkan secara perlahan. Ia kemudian disergap sesuatu yang betul-betul kasar.

Pada mulanya, kami beranggapan ikan tersebut merupakan talang, namun beberapa minit berlalu tiada sebarang lompatan dilihat seperti kebiasaannya.

Masing-masing meneka gerepoh pula kerana ia membenam padu.

Setelah ia naik hampir ke permukaan air, terserlah kelibat ikan yang lebar dengan warna keperakan.

Ia rupanya seekor ikan ebek kapak yang kasar. Satu tangkapan yang sangat jarang diperoleh di perairan PD, lebih-lebih lagi dengan saiz bagak sebegitu.

Terserlah kegembiraan di wajah Ayad. Mana tidaknya, tangkapan tersebut merupakan rekod peribadinya sepanjang mula berjinak-jinak dalam dunia memancing sekitar dua tahun lepas.

Dengan itu, maka berakhirnya trip jigging kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN