KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic selepas mudah mengenepikan cabaran pasangan Denmark, Natasja Anthonisen-Amalie Kudsk.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, naib juara dunia itu memerlukan masa 32 minit sahaja bagi memastikan kemenangan straight set 21-13, 21-14.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi cukup baik selain meletakkan wakil Eropah itu dalam keadaan tertekan menerusi pukulan serta strategi yang diatur.
Biarpun Anthonisen-Kudsk memberikan tentangan dalam kedua-dua set permainan, namun ternyata pasangan negara berada dalam kelas tersendiri apabila bermain lebih tenang dan mengawal sepenuhnya perlawanan.
Kemenangan itu pastinya melegakan Pearly-Thinaah dalam usaha mereka untuk mengulangi pencapaian tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke pentas final sebelum tewas kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.
Bagaimanapun, mereka dijangka berdepan aksi lebih sukar menjelang pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung esok apabila perlu menentang beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.
Sebagai rekod, kedua-dua beregu itu tidak pernah bertemu dalam mana-mana perlawanan sebelum ini, namun berdasarkan prestasi semasa, Pearly-Thinaah dianggap sebagai pilihan untuk ke suku akhir.
Sepanjang saingan musim ini, anak-anak buah Rosman Razak itu mengharungi kempen cukup cemerlang apabila sudah melangkah ke lima perlawanan akhir, termasuk ketika muncul juara Terbuka Thailand Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














