NEW DELHI – Satu rakaman video mengerikan memaparkan detik seorang wanita diseret seekor buaya selepas dia diterkam ketika mandi di sebatang sungai di Jaipur, India, lapor portal berita MailOnline semalam.
Rakaman video menunjukkan reptilia itu menarik tubuh mangsa yang tidak bernyawa.
Mayat Soudamini Mahala, 57, diseret ke hilir sungai, manakala penduduk kampung yang terkejut hanya mampu menjerit dari jambatan berhampiran.
“Wanita itu sedang mandi di Sungai Kharasrota sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan), Isnin lalu. Seekor buaya menariknya ke arus deras sungai.
“Penduduk kampung yang berada di tebing sungai cuba mengejar reptilia itu tetapi gagal menyelamatkannya,” kata seorang pegawai polis.
Tambahnya, selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, anggota bomba dan polis tiba di lokasi kejadian dan melancarkan operasi mencari di sungai berkenaan.
“Apabila kami melihat buaya itu sedang menyeret wanita tersebut ke dalam sungai, kami terjun untuk menyelamatkannya, tetapi semua usaha kami sia-sia,” kata seorang saksi kejadian, Naba Kishore Mahala. – AGENSI