fbpx
Muhyiddin.

Representasi ditolak, tujuh pertuduhan Muhyiddin dibicarakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Representasi yang dikemukakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggugurkan tujuh pertuduhan ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy di sini hari ini.

Menurut Wan Shaharuddin pihak pendakwaan telah menerima representasi daripada pasukan peguam pada 19 Ogos 2025 dan representasi berkenaan telah ditolak AGC pada 22 Ogos lepas.

“Justeru pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan seawal Januari tahun depan,” kata Wan Shaharuddin.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Muhyiddin memberitahu bahawa pihak pembelaan belum bersedia dalam tempoh tersebut selain mencadangkan perbicaraan pada Mei atau Jun.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Muniandy menetapkan 10 November ini bagi pengurusan kes selain menetapkan tarikh baharu perbicaraan.

Dalam prosiding hari ini kehadiran Muhyiddin dikecualikan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga buah syarikat bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI