KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan atau scammer kononnya terlibat dalam kes penipuan dan penggubahan wang haram, seorang pesara guru kehilangan simpanan persaraannya berjumlah RM200,300.
Wanita berusia 62 tahun tersebut membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.04 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara tersebut yang berada di rumanya di Manir di sini telah dihubungi seorang individu mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 3 petang, 25 Mei lalu.
“Mangsa terkejut apabila didakwa kononnya dia terlibat dalam kes pemalsuan tuntutan insurans dan penggubahan wang haram bernilai RM2.8 juta.
“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu lain pula yang mendakwa kononnya pegawai polis dari Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, ‘pegawai polis’ terbabit kemudiannya menawarkan bantuan agar wanita warga emas itu diikat jamin dengan syarat mangsa memaklumkan maklumat simpanan dimilikinya.
Beliau berkata, pesara tersebut juga diarahkan agar menyerahkan wang simpanan tersebut kononnya kepada Bank Negara bagi tujuan penyiasatan.
“Mangsa juga diarahkan mendedahkan maklumat perbankan sebelum memindahkan simpanan Tabung Haji miliknya ke akaun bank terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE