KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,968 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sempena pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) yang dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur, setakat semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil operasi bermula 1 Oktober lalu, sebanyak 13,365 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta, penunggang motosikal (2,813), van dan pikap (200), lori (141), teksi (62), bas (6) termasuk 381 pejalan kaki.
“Kesalahan tertinggi ialah halangan lalu lintas merekodkan 11,720 saman diikuti 2,036 saman kerana abai isyarat lalu lintas, tiada atau tamat tempoh lesen memandu (702) serta 568 saman melibatkan lain-lain kesalahan.
“Selain itu, 489 saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada atau tamat tempoh lesen kenderaan motor (cukai jalan) dan 381 saman kerana tidak ikut jejantas atau lintasan pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari jni.
Fadil berkata, pihaknya turut mengeluarkan 374 saman di atas kesalahan nombor pendaftaraan tidak ikut peraturan dan 148 saman kerana tidak berhenti di lampu isyarat merah.
“Sebanyak 135 saman tidak pakai topi keledar, ubah suai kenderaan (80), berhenti melebihi garisan putih (75), guna telefon semasa memandu (70, tidak pakai tali pinggang keledar (93), berhenti di petal kuning (95) serta dua saman kerena memotong di garisan berkembar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE