LONDON – Sebuah masjid di selatan England menjadi sasaran serangan dengan polis melancarkan siasatan kerana perbuatan khianat dan jenayah kebencian, lapor portal berita Middle East Eye semalam.
Serangan melibatkan beberapa lelaki bertopeng yang dirakam sistem televisyen litar tertutup(CCTV) cuba menceroboh masuk dan mencetuskan kebakaran ketika sekumpulan jemaah berada di dalam masjid lewat malam Sabtu lalu.
Pasukan kecemasan dipanggil ke lokasi kebakaran di Masjid Peacehaven itu sekitar pukul 9.50 malam (waktu tempatan) tidak lama selepas jemaah beredar selepas selesai solat Isyak.
Bercakap kepada media, seorang pemegang amanah masjid itu berkata, masyarakat kini berada dalam keadaan terkejut dan trauma akibat serangan tersebut.
“Ini jelas berkaitan jenayah kebencian. Api sampai ke bahagian utama bangunan berhampiran dewan solat,” katanya.
Sebuah kenderaan milik pemegang amanah masjid yang diletakkan di luar bangunan itu turut dibakar dan musnah dalam kejadian tersebut.
Detektif Kanan Polis Sussex, Karrie Bohanna berkata: “Ini adalah siasatan yang bergerak pantas dan kami menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat untuk melaporkannya kepada kami.” – AGENSI