fbpx
Azalina ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini. Foto JAPEN.

Pindaan Perlembagaan pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan pada tahun hadapan sekali gus membolehkan pelaksanaan reformasi di buat secara sah di sisi undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia selepas Jemaah Menteri mengambil satu langkah besar pada 10 September lalu.

Langkah tersebut terdiri daripada persetujuan dasar untuk menerima pakai model pengasingan penuh, di mana fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dipegang oleh dua individu berbeza dengan kedudukan yang setara.

Azalina berkata, isu ini bukan sekadar soal teknikal undang-undang, tetapi berkait langsung dengan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan, prinsip akauntabiliti serta ketulusan pentadbiran undang-undang.

“Kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan reformasi ini tidak akan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui pendekatan yang teliti, menyeluruh dan inklusif.

“Susulan keputusan tersebut, langkah seterusnya dalam menjayakan usaha reformasi ini adalah dengan melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan punca kuasa atau ‘enable’ provision.

“Ia membolehkan pelaksanaan pemisahan peranan dan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibuat secara sah di sisi undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta penjelasan mengenai status terkini cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Tambah Azalina, pindaan tersebut amat penting kerana akan mewujudkan kerangka undang-undang yang memisahkan secara rasmi fungsi nasihat undang-undang kerajaan oleh Peguam Negara dan fungsi pendakwaan jenayah oleh Pendakwa Raya, selain memperuntukkan peralihan kuasa.

“Selepas pindaan Perlembagaan itu dikuatkuasakan, kerajaan akan membentangkan dua rang undang-undang susulan.

“Iaitu Rang Undang-Undang Saraan bagi menetapkan struktur gaji dan elaun untuk jawatan baharu Pendakwa Raya, serta RUU Pembaharuan Undang-undang Pendakwa Raya yang akan meminda pelbagai undang-undang berkaitan fungsi pendakwaan.

“Ini bermaksud kerajaan telah menyediakan bukan sahaja pelan dasar, tetapi juga garis masa yang konkret untuk melaksanakan reformasi besar ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI