SUBANG JAYA – Pusat Konvensyen Sunway Pyramid menjadi medan budaya ASEAN apabila ASEAN Arts & Crafts Bazaar membuka tirainya dari 6 hingga 8 Oktober ini, bersempena 39th Senior Officials Committee for the ASEAN Socio-Cultural Community (SOCA) Meeting dan 34th ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Council Meeting yang dihoskan Malaysia.
Dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), bazar tiga hari itu menjanjikan pengalaman istimewa kepada pengunjung dengan pelbagai pameran seni, kraf dan warisan tradisional dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Antara tarikan utama ialah pameran hasil tenunan halus dari pelbagai negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Laos yang mencerminkan keindahan serta ketelitian seni tangan masyarakat serantau.
Tidak ketinggalan, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai hidangan dan makanan tradisional tempatan yang disajikan sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang dikongsi bersama.
Selain pameran dan jualan, bazar ini turut menampilkan demonstrasi langsung oleh artisan terkenal, sesi padanan perniagaan antara pengusaha seni serta ‘pocket talk’ interaktif mengenai warisan budaya dan industri kreatif.
Menurut MOTAC, penganjuran bazar ini bukan sekadar acara sampingan, sebaliknya satu simbol penyatuan budaya dan ekonomi kreatif ASEAN yang berteraskan semangat Malaysia MADANI.
“Setiap hasil tenunan, ukiran, dan hidangan tradisional di sini membawa cerita tersendiri tentang identiti dan kekayaan budaya ASEAN,” katanya di sini hari ini.
Bazar yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 5 petang ini terbuka kepada orang ramai secara percuma dan dijangka menjadi tumpuan pelancong, pencinta seni serta komuniti kreatif tanah air.- KOSMO! ONLINE