SHAH ALAM – Belum berakhir, produksi program realiti sensasi Talk To My Manager (TTMM) membuat kejutan dengan mengumumkan penambahan satu minggu lagi menjadikan konsert akhir berlangsung pada 12 Oktober depan.
Pengumuman dibuat pengacara, Datuk Aznil Haji Nawawi pada penghujung rancangan malam tadi selepas mendapat persetujuan semua pihak terlibat termasuk produksi, juri serta peserta.
Malam penuh warna itu menyaksikan enam pasangan bintang dan pengurus tampil dengan pelbagai persembahan mencuri tumpuan.
Dalam persembahan minggu ini Auddra mendengdangkan lagu Damelo nyanyian asal kumpulan Dolla, Ammar pula membawakan Cinta Dewa Dewi (Spider), Hadie mempersembahkan #AwakKatMane (Taufik Batisah), Marsya menyanyikan Bring Me To Life (Evanescence) manakala Amad mengalunkan Arjuna (Dewa 19).
Bagi pusingan battle, Auddra bergandingan dengan Ammar membawakan lagu Rockstar (Lisa) dan Idol (BTS), manakala Hadie bersama Marsya memilih Rapuh (Opick) dan Dealova (Once).
Amad pula terpaksa menyanyikan Hal Hebat (Ernie Zakri ft. Govinda) serta Menamakanmu Cinta (Datuk Seri Siti Nurhaliza ft. Govinda) bersama pengurusnya, Siti Saerah kerana regu duet asalnya Talita disahkan menghidap Influenza A dan perlu menjalani kuarantin.
Secara rasmi, keenam-enam bintang iaitu Marsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) dan Auddra (Sharifah Shahirah) mara ke pusingan ‘Grand Finale’.
Program TTMM bukan sekadar pertandingan nyanyian malah menguji kekuatan emosi, kepercayaan dan keserasian antara pengurus serta anak didik mereka.
Malam tadi, kategori Persembahan Terbaik dimenangi pasangan Marsha dan pengurusnya Liza Hanim yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Sementara itu, Amad dan Siti Saerah diumumkan sebagai penerima anugerah Vokal Terbaik.
Terus mendakap tuah, gelaran Most Valuable Manager of The Week turut jatuh kepada Siti Saerah yang menerima ganjaran perabot tajaan Ella.
Semua peserta diadili barisan juri tetap yang terdiri daripada Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal manakala juri jemputan pula, guru vokal berpengalaman Datuk Syafinaz Selamat. – KOSMO! ONLINE.