ISTANBUL – Seorang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali, Tommaso Bortolazzi mengucapkan dua kalimah syahadah ketika dalam tahanan tentera Israel bersama rakan-rakan aktivis lain, lapor agensi berita Anadolu.
Dalam satu temu bual dengan media tempatan sejurus tiba di Istanbul, Turkiye, Bortolazzi berkata, dia berasa tersentuh apabila melihat rakan-rakannya yang beragama Islam diganggu oleh tentera Rejim Zionis ketika menunaikan solat.
Tambahnya, dia berada di dalam sel yang sama dengan lapan aktivis beragama Islam dari Turkiye dan Malaysia.
“Ketika mereka sedang bersolat, polis pasukan pendudukan Israel masuk dan menghalang mereka.
“Saya merasakan keperluan untuk menentang perbuatan tersebut dan selepas itu, saya mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya.
Tambah Bortolazzi, dia berasa seperti bayi yang baru dilahirkan semula.
“Saya memilih ini (masuk Islam) dan saya sangat gembira,” katanya.
Bortolazzi merupakan kapten Maria Cristina, salah satu daripada lebih daripada 40 bot flotilla ke Gaza. – AGENSI