Gambar hiasan

Belanjawan 2026: Orang muda mahu peluang kerja lebih luas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mahu banyak peluang pekerjaan serta bantuan pinjaman berkaitan pendidikan menjadi tumpuan para belia dan mahasiswa di negara ini menje­lang pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini.

Rata-rata penuntut ­universiti mengharapkan golongan itu tidak dipinggirkan dan diberi perhatian untuk mendapat pelbagai insentif yang lebih baik.

Di Ipoh, Perak, seorang belia, Muhammad Nazmi Mohamad Subri, 23, berkata, dia berharap Belanjawan 2026 memberi lebih banyak tumpuan kepada ­peluang pekerjaan untuk graduan baharu.

Katanya, ia kerana ramai anak muda yang masih bergelut untuk mencari pekerjaan yang sesuai selepas tamat pe­ngajian.

“Selain itu, elaun latihan industri dan skim sokongan untuk belia perlu diperluas supaya kos sara hidup dapat ditampung,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Marsha Maisarah Mohamed Nor, 22, pula berkata, bantuan pendidikan seperti pinjaman dan ­biasiswa juga wajar ditambah bagi memastikan semua pelajar, termasuk dari keluarga sederhana mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Belanjawan kali ini diharapkan benar-benar memberi manfaat terus kepada golongan muda sebagai pelapis negara.

“Jadi langkah yang perlu diperkemaskan oleh kerajaan sudah tentu berkaitan dengan pinjaman pendidikan kerana dari situ para pelajar ini boleh mengorak langkah demi masa depan mereka,” katanya.

Di Shah Alam, Selangor, seorang pelajar, Annisa Azlan, 21, berkata, dia berharap kerajaan dapat memperkenalkan bantuan kewangan membeli komputer riba pada pembentangan Belanjawan 2026 nanti

“Banyak tugasan serta kerja projek pelajar universiti perlu dilakukan menggunakan komputer riba. Tapi ada pelajar yang terpaksa pinjam komputer kawannya kerana tidak mampu beli peralatan itu kerana keluarganya miskin.

“Harap Perdana Menteri dan kerajaan boleh lihat perkara ini. Kalau kerajaan tidak mahu bagi wang kerana khuatir ada pelajar akan salah gunakan wang itu, kerajaan beri baucer pun saya rasa sudah memadai,” jelasnya

Bagi Andy Adrian Federick, 21, dia berharap belanjawan kali ini ada pengumuman bantuan kewangan yang diberikan kepada pelajar universiti awam dan swasta yang datang daripada kalangan keluarga miskin dan sederhana.

“Pelajar universiti termasuk saya kini berbelanja lebih RM20 sehari untuk makan dua kali sehari. Itu pun dah kira habis berjimat. Tapi apabila pensyarah minta buat tugasan, terpaksa ikat perut sebab nak pastikan ada duit untuk siapkan tugasan.

“Harap kerajaan boleh per­kenalkan bantuan kewangan RM200 sebulan kepada pelajar daripada dua kategori keluarga ini. Bukan semua pelajar dapat duduk asrama universiti. Sewa bilik pun makin mahal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN