Saudara Pengarang,
Saya merupakan salah seorang daripada jutaan pengguna yang setiap hari berada di atas jalan raya sama ada bagi tujuan untuk pergi bekerja mahupun atas urusan peribadi.
Setiap kali saya melalui lebuh raya yang serba moden dengan jalan yang cukup rata, perasaan berdebar tetap ada terutama ketika beriringan dengan lori.
Rasanya, ramai lagi pengguna jalan raya yang mengakui berasa cemas setiap kali berdepan dengan kenderaan berat yang dipandu dengan kelajuan tinggi, ditambah pula dengan saiznya yang besar serta muatan berbahaya.
Selain memandu laju, ada juga aduan berkenaan pemandu lori yang mengekori rapat kenderaan kecil di hadapan tanpa rasa bersalah.
Tidak cukup dengan itu, ada segelintir yang berperangai samseng dengan membunyikan hon panjang serta menukar lorong tanpa amaran.
Perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh meragut nyawa.
Justeru, besarlah harapan kami sebagai pemandu kereta ‘kecil’ dan penunggang motosikal agar para pemandu lori lebih berhemah ketika berada di atas jalan raya.
Biarlah kita sama-sama keluar mencari rezeki di pelbagai pelosok tempat dan pulang ke rumah dengan senyuman untuk bertemu keluarga tersayang.
ZAKRI,
Puchong, Selangor














