SEBERANG PERAI – Seorang wanita sempat menyelamatkan diri dari keretanya jenis Proton X70 yang terbakar di Kilometer 159.1 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1156 malam itu, mangsa berusia 53 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal.
“Berlaku kebakaran sebuah kereta jenis Proton X70 dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah sebanyak 90 peratus dan Komander Operasi melaporkan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari pam tangki jentera.
“Kebakaran tersebut tidak melibatkan mangsa dan dapat dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian sebelum diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, operasi pemadaman turut melibatkan bantuan dari BBP Sungai Bakap dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.01 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE