SEPANG – Setakat malam ini, seramai 137 daripada 462 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibebaskan oleh tentera Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia.
Beliau berkata, kesemua mereka dibebaskan dengan bantuan Kerajaan Turkiye.
“Sumud Nusantara mengajak semua pendokong untuk terus mendoakan agar kesemua baki aktivis GSF yang masih dalam tahanan dibebaskan segera,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam ini.
Katanya, pihaknya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia terus bersatu hati dan melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah agar perang di Gaza dapat dihentikan segera.
Jelasnya lagi, ia merujuk kepada perkembangan positif rundingan antara pihak Hamas dan rejim Israel yang sedang berlaku ketika ini. – KOSMO! ONLINE