DALAM landskap automotif ke arah elektrifikasi, strategi BYD ialah menawarkan kenderaan elektrik (EV) dengan prestasi baik tetapi pada harga mampu milik berbanding pesaing.
Jadi tidak hairanlah, syarikat pengeluar EV dari China itu semakin dikenali dengan model kenderaannya BYD Dolphin, Atto 3, Seal, M6 dan Sealion yang kini mendominasi pasaran EV Malaysia.
Pada akhir Julai lalu, Sime Darby Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia telah memperkenalkan model terbaharu BYD Atto 2 sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak elektrik yang direka untuk pemanduan urban.
Pengenalan model baharu Atto 2 itu juga dijangka dapat mengukuhkan kedudukan BYD sebagai jenama EV pertama di Malaysia sebelum ini selama tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024.
Atto 2 dicipta untuk memenuhi keperluan pemandu muda dan pengguna EV pertama di Malaysia dengan menggabungkan teknologi canggih dan gaya hidup masa kini.
SUV kompak elektrik ini diposisikan antara model hatchback BYD Dolphin dan SUV BYD Atto 3 dengan harga kompetitif bermula RM100,000.
Dari segi dimensi, Atto 2 berukuran 4,310mm panjang, 1,830mm lebar, 1,675mm tinggi dengan jarak antara roda 2,620mm.
Menariknya, model Atto 2 yang dikenali sebagai Yuan Up di China ini menggunakan haiwan tikus gergasi atau ‘capybara’ sebagai maskot rasmi kenderaan tersebut sesuai dengan imej ‘fun & chill’.

Penulis suka dengan reka bentuk luar kenderaan ini yang nampak comel dengan sentuhan moden sesuai dengan jiwa muda tidak terlalu garang tetapi cukup untuk menarik perhatian.
Bahagian luar Atto 2 tampil dengan reka bentuk ‘dragon face’ badan yang kemas, overhang pendek dan lekuk yang nampak berkuasa.
Ia dilengkapi lampu hadapan LED sepenuhnya bersama lampu nyalaan siang (DRL) yang nipis, serta gril dengan kemasan hitam dan perincian krom untuk penampilan moden.
Di bahagian belakang terdapat lampu brek atau indikator penuh lebar (light bar LED) dengan bentuk ‘infinity ring’ yang bersambung antara lampu kiri dan kanan.
Reka bentuk luar lain termasuk bumbung bergaya terapung hasil penggunaan tiang berwarna hitam, pemegang pintu jenis rata (flush) yang memberi kesan aerodinamik dan moden.
Ia turut dilengkapi rim aloi lima jejari bersaiz 17 inci dengan ruang kargo 400 liter cukup luas untuk mengisi bagasi ketika bercuti bersama keluarga dan boleh diperluas sehingga 1,340 liter apabila kerusi belakang dilipat.
Walaupun bersaiz kompak, Atto 2 menampilkan ruang kabin yang luas dengan teknologi moden.
Ruangan kabin nampak kemas dan minimalis dilengkapi kerusi kulit sintetik, kemasan dalaman hitam premium, skrin sentuh berputar bersaiz 12.8-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang menyokong kedua-dua sambungan tanpa wayar atau berwayar.
Atto 2 meggunakan e-Platform 3.0 dengan suspensi hadapan MacPherson, manakala bahagian belakang torsion beam dan susunan ini sering dilihat dalam segmen kompak kerana kos efektif serta selesa untuk kebanyakan permukaan jalan yang tidak ekstrem.

Penulis berpeluang memandu uji model ini dalam tempoh lebih kurang satu jam ketika majlis pelancaran baru -baru ini, pihak media telah dibawa menelusuri lebuh raya sekitar Kuala Lumpur dan jalan bandar untuk menguji prestasi Atto 2.
Dari segi pemanduan, Atto 2 agak stabil walaupun saiznya agak kompak dengan kawalan stereng responsif.Terdapat 4 mod pemanduan ditawarkan iaitu Normal, Eco, Sport, dan Snow.
SUV kompak elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik depan yang menghasilkan kuasa 174hp (130kW) dan tork 290Nm, dengan daya pecutan dari pegun hingga 100 kilometer per jam (km/j) dalam masa 7.9 saat.
Menerusi bateri bilah Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 51.13 kWh, Atto 2 menawarkan jarak pemanduan sehingga 410km mengikut NEDC atau 350km (WLTP).
Bateri ini menyokong kedua-dua pengecasan pantas AC dan DC dengan pengecasan 30 hingga 80 peratus mengambil masa kurang 30 minit.
Untuk aspek keselamatan, Atto 2 hadir dengan sistem bantuan pemanduan ADAS 2.0 yang merangkumi Amaran Perlanggaran Hadapan, Brek Kecemasan Automatik, Kawalan Kelajuan Adaptif, Sistem Brake Override dan Bantuan Ketika Trafik Sesak.
Ia juga dilengkapi enam beg udara, sistem ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Menuruni Cerun, Auto Hold, Pemantauan Tekanan Tayar selain, sensor parkir depan dan belakang, kamera 360 darjah, bantuan parkir, serta sambungan Isofix untuk tempat duduk kanak-kanak.
BYD Atto2 hadir dalam tiga pilihan warna bergaya Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey.
Setiap pembelian, didatangkan dengan adapter vehicle-to-load (V2L) dan kabel pengecas jenis 2 dengan plug 3-pin.
Kesimpulannya, jika anda sedang mencari EV pertama yang praktikal, selesa dan bernilai tinggi, Atto 2 adalah antara pilihan terbaik di pasaran Malaysia ketika ini.
Ia bukan sekadar EV mampu milik tetapi sebuah SUV urban moden dengan sentuhan premium.
















