fbpx
Aida Amron mengenakan busana yang ditatarias oleh kakaknya penata gaya terkenal Min Luna untuk tayangan filem Badak di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Foto Iqbal Rosli

Kakak bantu urus gaya penampilan Aida Amron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIL dengan wajah penuh solekan bersama busana sentuhan pereka fesyen bukanlah penampilan harian buat pelakon sedang meningkat naik, Aida Amron.

Filem Badak yang menjadi debut sulung Aida memperuntukkannya tampil bergaya di acara karpet merah dan sidang media tayangan perdana karya arahan M. Raihan Halim itu.

Mengenakan pakaian rekaan Uzair Shoid, penampilan pelakon berusia 26 tahun itu kelihatan cukup menawan dan menyerlahkan aura tersendiri tanpa perlu ‘menumpang’ populariti dua kakaknya, Min Luna dan Nadiya Nisaa.

Gaun merah jambu bertekstur dengan perincian bulatan besar berkilat menjadi fokus utama.

Ia menonjolkan sisi ceria, sekali gus memberikan sentuhan awet muda dan membuatkan Aida kelihatan remaja.

Diserikan dengan kemeja putih berkolar di bahagian dalam, ia memberikan keseimbangan antara formal dan santai.

Begitu juga dengan stoking lace hitam bercorak bunga dan kasut hitam menambahkan kontras dramatik, seolah-oleh menyatukan elemen retro dengan sentuhan moden.

Disoal tentang penampilan itu, Aida tanpa berselindung memberitahu, kakaknya, Min Luna bertanggungjawab dalam menguruskan gayanya.

Baginya, pengalaman dan kepakaran Min Luna dalam bidang fesyen membuatkan Aida memilih untuk menyarungkan apa saja yang disarankan kepadanya.

“Saya agak beruntung kerana mempunyai kakak yang berpengalaman, dan dia membantu saya agar muncul dengan gaya sesuai mengikut acara.

“Tidak dinafikan, kelebihan dia sebagai penata gaya secara tidak langsung membantu saya dari segi gaya dan imej.

“Lebih-lebih lagi, apabila datang ke majlis seperti tayangan perdana atau acara rasmi,” katanya ketika ditemui CitaRasa di tayangan perdana filem Badak di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

AIDA AMRON selesa mengenakan pakaian berwarna hitam dan putih.

Biarpun selesa dengan penampilan sebegitu, namun Aida tetap mempunyai cita rasa tersendiri dalam soal gaya.

Baginya, padanan seluar jean dan kemeja-T sudah memadai untuk membuatnya berasa selesa.

“Kalau bercakap tentang gaya, saya memang sangat mudah dan santai. Kebiasaannya, saya senang memakai seluar jean dan kemeja-T kalau hendak ke mana-mana.

“Saya juga tidak gemar mengenakan aksesori tambahan seperti rantai atau subang.

“Kalau bercakap tentang warna, merah jambu bukanlah kesukaan saya.

“Biasanya, saya selesa pakai pakaian warna hitam atau putih kerana mudah digayakan dan dipadankan dengan sneakers,” katanya.

Biarpun selesa dengan gayanya, namun Aida tetap berlapang dada untuk mengenakan sebarang busana yang sudah diaturkan oleh Min Luna pada masa akan datang terutama ke acara-acara rasmi.

“Memang saya ada gaya sendiri, tapi tidak menjadi masalah kalau kita terima pandangan orang lain.

“Perselisihan faham itu mungkin akan ada nanti, tetapi kakak saya profesional dan dia tahu apa dia buat.

“Lagipun, pakaian itu hanya dipakai untuk acara rasmi dan bukan pakai hari-hari.

“Jadi, saya memang tiada masalah, dan selesa dengan apa saja yang digayakan,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN