PUTRAJAYA – Tindakan kejam rejim zionis menyekat misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai sekurang-kurangnya 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara disifatkan sebagai kejam dan tidak bertamadun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekatan kepada misi kemanusiaan itu hanya berlaku jika negara itu dipimpin oleh pemimpin kejam dan tidak bertamadun.
“Ini hanya berlaku (sekatan) kalau negara itu dipimpin dan mempunyai falsafah yang sangat kejam dan tidak bertamadun.
“Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan,” katanya menerusi siaran langsung Facebook miliknya yang disiarkan tadi.
Menurut Perdana Menteri, kumpulan aktivis GSF telah memberikan satu sumbangan besar kepada dunia berikutan tidak mudah untuk memecahkan kepungan Israel terhadap Gaza.
“Mereka tahu tidak mudah untuk sampai di bawah rejim Israel, tetapi telah memberikan sumbangan yang besar dan kesedaran kepada ratusan juta rakyat di dunia.
“Rejim itu tidak hanya menentang apa yang mereka ungkapkan sebagai kelompok ganas, walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza.
“Tetapi mereka juga melarang dan mengindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, rundingan diplomatik yang dibuat juga bukan sahaja memberi tumpuan kepada rakyat Malaysia dan Turkiye tetapi turut memfokuskan kepada kelompok antarabangsa lain.
“Kita juga berbicara tentang semua termasuk Eropah dan rakan-rakan Indonesia serta lain negara yang bersama dalam rombongan GSF,” katanya. – KOSMO! ONLINE