SUBANG – Pangkalan Udara Subang (Pusu) yang genap 40 tahun penubuhannya terus menjadi nadi utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam melaksanakan pelbagai misi penting di peringkat dalam dan luar negara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan Aris berkata, pangkalan itu berperanan besar sebagai pusat penyediaan, pengurusan dan operasi pesawat pengangkut negara yang melaksanakan misi kemanusiaan, bantuan bencana serta operasi strategik ketenteraan.
“Pangkalan inilah yang menjadi tulang belakang dalam menyediakan dan menguruskan pesawat untuk melaksanakan misi-misi sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.
“Walaupun sudah 40 tahun, pangkalan ini masih gagah dan akan terus berperanan sebagai pusat strategik TUDM untuk tempoh yang sangat panjang, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Hari Terbuka Sempena Ulang Tahun Ke-40 Jubli Delima Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Menurut beliau, hampir setiap minggu pangkalan itu melaksanakan pelbagai misi termasuk bantuan kemanusiaan dan penghantaran logistik ke lokasi strategik di seluruh negara.
“Kalau misi berdasarkan pesawat pengangkut, memang semuanya dari sini. Sebagai contoh, bantuan HADR (Humanitarian Assistance and Disaster Relief) atau penghantaran peralatan hospital medan semuanya bermula di Pusu.
“Pesawat disiapkan, diselenggara dan dilancarkan dari sini ke pangkalan hadapan,” jelasnya.
Tambah beliau, dari segi keperluan logistik pula, pangkalan itu beroperasi secara aktif dengan sekurang-kurangnya dua misi seminggu tidak termasuk tugasan khas untuk pasukan elit dan operasi ketenteraan lain.
“Kalau ikut rutin, seminggu dua kali misi logistik dilaksanakan, belum masuk tugas-tugas khas seperti bantuan kepada pasukan darat atau misi ketenteraan tertentu,” katanya.
Mengulas mengenai masa depan pangkalan itu, beliau menegaskan kedudukan strategik Pusu di Lembah Klang menjadikannya kekal relevan sebagai pangkalan utama TUDM untuk dekad-dekad akan datang.
“Lokasi Subang sangat strategik, hampir di tengah Semenanjung dan berdekatan dengan rangkaian logistik utama negara. Kemudahan dan keupayaan pesawat di sini juga amat sesuai untuk pelbagai jenis misi,” jelasnya.
Katanya, selagi pengangkutan udara kekal sebagai nadi utama pergerakan strategik TUDM, Pusu akan terus menjadi salah satu benteng utama kekuatan udara negara. – KOSMO! ONLINE.