fbpx
POSTECOGLOU

Penyokong Forest sudah hilang sabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NOTTINGHAM – Kempen suram Ange Postecoglou bersama Nottingham Forest berterusan apabila skuadnya tumbang 2-3 kepada jaguh Denmark, Midtjylland dalam aksi Liga Europa di City Ground awal pagi tadi.

Pertemuan itu sepatutnya menjadi malam bersejarah buat Forest selepas 29 tahun penantian untuk kembali ke pentas Eropah, namun segalanya bertukar menjadi mimpi ngeri.

Postecoglou dilantik pada 9 September lalu masih gagal menang dalam enam perlawanannya dan lebih menyakitkan apabila para penyokong Forest melaungkan sorakan ‘awak akan dipecat esok’ sambil menyanyikan nama bekas pengendali yang dipecat, Nuno Espirito Santo.

Benteng rapuh menghukum Forest apabila Ousmane Diao dan Mads Bech mudah menyempurnakan bola mati di babak pertama selain gol penyamaan Dan Ndoye tidak bertahan lama kerana dua minit kemudian gawang mereka kembali dibolosi.

Malang bertimpa apabila pertahanan Brazil, Murillo sekali lagi ditimpa kecederaan, sementara dua jaringan daripada Chris Wood dibatalkan pengadil.

Midtjylland terkenal sebagai pakar bola mati terus menghukum tuan rumah apabila Valdemar Byskov meledak gol ketiga pada minit ke-88 dan sepakan penalti Morgan Gibbs-White di penghujung perlawanan sudah tiada makna buat Forest apabila tewas 2-3.

“Masalahnya bukan lagi soal kebetulan tetapi mengenai krisis keyakinan. Penyokong sudah mula hilang sabar dengan Postecoglou kerana langsung tak menang dalam enam perlawanan sejak dilantik,” lapor media tempatan yang menilai prestasi hambar Forest.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan buat pemilik kelab, Evangelos Marinakis yang tidak menyangka keputusan menggantikan Santo membawa tekanan secepat ini terutama selepas pengalaman pahit Postecoglou bersama Tottenham.

Forest akan menanti kunjungan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park esok sebelum rehat antarabangsa sekali gus menjadi peluang terakhir Postecoglou mengubah rentak sebelum spekulasi pemecatan bertambah kuat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI