fbpx
Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, di sini, hari ini.

Malaysia guna saluran diplomasi selamatkan aktivis Sumud Flotilla – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang menggembleng segala usaha diplomasi dengan negara-negara sahabat bagi memastikan aktivis dan sukarelawan negara dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) dapat dibawa keluar segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menggunakan saluran Qatar dan Turkiye yang mempunyai pengaruh besar dalam menyalurkan pandangan Malaysia.

Katanya, beliau telah menghubungi Perdana Menteri Qatar, Amir Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Selain itu, katanya beilau turut berhubung dengan pihak Amerika Syarikat (AS), termasuk Mantan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken serta Duta Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff membantu menyelaras perjanjian.

“Saya telah memohon jasa baik Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan supaya pesawat khas yang akan membawa pulang rakyat Turkiye dari Israel ke Istanbul turut mengambil rakyat Malaysia. Dari Istanbul, insya-Allah kita akan bawa mereka pulang (ke Malaysia).

“Maklumat terakhir yang saya terima menunjukkan sukarelawan kita masih bersemangat dan kental biarpun ada yang menyatakan mereka tidak sampai ke Gaza. Hakikatnya mereka sedang berdepan rejim penjajah yang ganas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pengorbanan aktivis flotilla berkenaan bukan sahaja membuka mata ratusan juta rakyat dunia mengenai kekejaman Zionis, malah membuktikan bahawa diplomasi Malaysia berperanan dalam usaha menyelamatkan mereka.

“Kita mungkin perlu berhenti seketika untuk menilai semula strategi. Yang penting adalah menyelamatkan nyawa serta memastikan bantuan kemanusiaan dan makanan sampai ke Gaza,” jelasnya.

Anwar turut menegaskan, walaupun perjanjian damai yang digagaskan sebelum ini tidak memenuhi semua harapan, sekurang-kurangnya ia membuka ruang agar rakyat Gaza tidak diusir keluar, mereka di luar dapat kembali, serta menghalang Israel daripada terus menakluki wilayah itu.

Terdahulu Kosmo! melaporkan setakat semalam, Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara mengesahkan kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pengesahan rasmi itu diterima pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia bahawa semua delegasi kini berada dalam tahanan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI