KOTA TINGGI – Perjanjian kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Qatar yang dimeterai baru-baru ini membuka ruang lebih luas dalam bidang industri pertahanan, perkongsian maklumat antara kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian sempena lawatannya ke negara itu menyaksikan pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Qatar.
“Melaluinya, kita dapat meneroka pelbagai bidang yang dapat memantapkan lagi hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara. Dalam soal-soal seperti industri pertahanan, maklumat risikan, perkongsian pengetahuan mengenai kawasan Indo-Pasifik, maknanya mereka boleh tahu daripada Malaysia.
“Dan kita juga boleh tahu perkongsian maklumat dan pengetahuan mengenai kawasan di Asia Timur Tengah. Ia akan memperkukuhkan hubungan pertahanan sebab Qatar adalah negara-negara sahabat yang kita yakini,” katanya pada sidang akhbar Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Town Hall Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS)/ Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBIG) daerah Kota Tinggi 2025 di sini, hari ini.
Pada 28 September lalu, Mohamed Khaled membuat lawatan rasmi dua hari ke Qatar bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan termasuk melawat Barzan Holdings, sebuah syarikat berkaitan industri pertahanan milik kerajaan negara itu. – KOSMO! ONLINE