fbpx
Wan Rosdy

UMNO Pahang kesal, marah, desak kerajaan guna semua saluran diplomatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – UMNO Pahang merakamkan rasa kesal, marah dan kebimbangan mendalam terhadap penahanan 15 rakyat Malaysia oleh rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bagi membawa bantuan ke Gaza.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehubungan itu mendesak kerajaan Malaysia menggunakan semua saluran diplomatik, undang-undang antarabangsa serta jaringan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan pembebasan segera kesemua 15 rakyat Malaysia tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, UMNO negeri juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan segala bentuk tindakan zalim, bukan sahaja terhadap aktivis kemanusiaan tetapi juga terhadap rakyat Palestin.

“UMNO negeri juga menyatakan sokongan padu kepada keluarga mangsa yang kini menanggung kerisauan yang mana UMNO Pahang berdiri bersama mereka dan bersama seluruh rakyat Malaysia dalam semangat solidariti.

“UMNO Negeri Pahang percaya, keberanian dan pengorbanan rakyat Malaysia yang ditahan ini akan terus menjadi simbol bahawa suara keadilan tidak akan pernah dapat dibungkam oleh kekejaman.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan mereka, sambil memperkukuh solidariti bersama rakyat Palestin yang masih berjuang mendapatkan hak mereka yang sah,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy misi tersebut adalah misi kemanusiaan, bukan misi ketenteraan yang mana mereka ke sana dengan niat murni membawa bantuan, harapan, dan solidariti kepada rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.

Tegasnya, penahanan itu jelas menunjukkan sikap angkuh dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel, yang semakin hari semakin melampau dalam mencabul undang-undang antarabangsa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI