PETALING JAYA – Kapal dinaiki salah seorang sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim) bagi meneruskan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza didekati Israel sekitar pukul 4 pagi.
Zainal Rashid melalui satu hantaran di Facebooknya memaklumkan, kapal yang dinaikinya itu didekati oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) ketika sedang berlayar menuju ke Gaza.
“Ini video terakhir sekitar pukul 3.30 ke 4 pagi, kami baru didekati kapal Israel tadi dan kami sahkan kami ialah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kalau mereka suspek agak aneh kerana kami sampai empat ke lima jam lebih lewat.
“Setelah kami sahkan kami kapal GSF, mereka tinggalkan dengan memberitahu mereka ialah tentera IDF mungkin mereka sedang menguruskan kapal-kapal lain dalam fleet yang lebih awal dan mereka agak curiga kenapa kapal ini sampai lambat,” katanya.
Katanya, pasukan IDF turut mempersoalkan mengapa kapal dinaiki kumpulan sukarelawan itu tiba lebih lewat.
“Kami memaklumkan kapal kami mengalami kerosakan enjin dan kemudian mereka pergi. Kami stanby untuk mereka datang balik dan ‘handphone’ ini akan dibuang bagi sebarang bentuk pengesanan rahsia,” katanya.
Selain itu, turut dimuat naik satu lagi video isyarat kecemasan yang telah dirakam lebih awal dan dimuat naik oleh pentadbir Facebook Rasmi ZRA Strim di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa dia sudah ditahan Israel.
Bagaimanapun, tinjauan di laman Instagram rasmi Sumud Nusantara Official mendapati, tiada maklumat sama ada Zainal Rashid sudah ditahan IDF.
Terdahulu, menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), seramai 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan. – KOSMO! ONLINE