fbpx
Bayern Munich dianggap salah satu pasukan pencabar kejuaraan UCL musim ini.

UCL: Bayern Munich sasar ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIMASSOL, Cyprus – Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany mengakui masih terlalu awal buat pasukannya dilabel pilihan utama mara ke pentas final selepas menang selesa 5-1 ke atas Pafos FC dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Pada perlawanan di Stadium Alphamega itu, skuad The Bavaria mudah menewaskan kelab kerdil dari Cyprus itu hasil jaringan berganda Harry Kane dengan tiga lagi gol diledak Raphael Guerreiro, Nicolas Jackson dan Michael Olise.

Kata Kompany, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain cukup memuaskan selepas mudah mendominasi sepanjang 90 minit perlawanan.

“Sebenarnya perlawanan ini tidak semudah seperti disangka walaupun kami menang dengan jumlah jaringan yang besar kerana Pafos adalah pasukan berkualiti.

“Mengenai sasaran, impian semua kelab yang bertanding adalah mahu ke pentas final dan bergelar juara tetapi saya fikir sekarang masih terlalu awal (untuk dilabel pilihan). Lebih baik kami fokus kepada satu demi satu perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Jackson mengakui gembira apabila dapat membuka akaun jaringan bersama Bayern selepas berhijrah secara pinjaman daripada Chelsea pada Ogos lepas.

“Secara peribadi, saya masih belum berada pada tahap terbaik kerana tidak beraksi untuk tempoh yang lama. Namun, saya cuba untuk bantu pasukan dan gembira dengan peluang untuk beraksi selama 90 minit kali ini,” kata Jackson. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI