SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di kawasan hutan Kampung Serukam, di sini, kelmarin.
Perintah reman ke atas suspek berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki itu ditahan pada pukul 9 malam tadi.
“Dalam kejadian pada pukul 9 malam, suspek mendekati mangsa dan tiga rakannya di kawasan Bukit Bintang Ramlee sebelum mengajaknya mengambil basikal di sebuah rumah di Taman Sri Astana.
“Dia kemudian membawa mangsa ke lokasi sama dengan basikal sebelum menawarkan sebuah lagi basikal percuma. Suspek membawa kanak-kanak itu ke hutan berhampiran dan memaksa memegang alat sulitnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE