PETALING JAYA – Mode kecemasan telah diaktifkan bagi memantau kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang kini berada kira-kira 150 batu nautika dari Gaza.
Pengguna media sosial, Sabri Mamat berkongsi hantaran Facebook berkata, semua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada bot telah diaktifkan secara ‘live streaming’ untuk merakam setiap peristiwa yang sedang dan bakal berlaku.
Katanya, aktiviti dron turut dilaporkan semakin rancak di ruang udara sekitar flotila, walaupun keadaan malam dan cuaca gelap menyukarkan pemerhatian visual, dengan hanya bunyi deruan kipas dron dapat didengar.
“Semalam, hanya beberapa bot terpilih disiarkan secara langsung, tetapi hari ini, semua bot dapat disaksikan secara live streaming.
“Semua peserta juga sudah bersiap dengan jaket keselamatan dan kelihatan bergerak di setiap penjuru bot,” katanya.
Menurut Sabri, walaupun waktu itu pukul 4 pagi biasanya merupakan giliran bertugas peserta, hari ini semua kelihatan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan yang tidak dijangka.
“Jarak terkini flotila sehingga pukul 9.50 pagi waktu Malaysia adalah 150 batu nautika ke Gaza dan 49 batu nautika ke garis merah pertama.
“Terdapat kemungkinan hari ini merupakan hari terakhir liputan live streaming daripada semua peserta, kerana risiko telefon pintar dicampak ke laut adalah tinggi,” katanya.
Sabri menggesa orang ramai yang mengenali peserta untuk menghantar mesej peribadi dan mendoakan keselamatan mereka.
Sehingga kini, liputan internet masih aktif dan dapat digunakan untuk berhubung secara peribadi dengan peserta. – KOSMO! ONLINE














