KOTA KINABALU – Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini dia melihat empat pelajar senior memasuki bilik Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu.
Saksi ketujuh itu berkata, Allahyarham Zara Qairina tiba terlebih dahulu di bilik berkenaan pada pukul 10.20 malam.
Peguam Joan Goh berkata, saksi ketujuh itu ternampak seorang pelajar senior berbual dengan Zara Qairina, 13, sebelum empat lagi pelajar lain masuk ke bilik sama.
“Saksi berkata pada 15 Julai 2025, pukul 10.20 malam, Zara dikatakan datang ke bilik dan minta izin masuk. Dia nampak seorang pelajar senior bercakap dengan Zara dan dengar sikit-sikit.
“Kemudian dia lihat empat senior masuk ke dalam bilik dengan seorang pelajar senior marah Zara kuat-kuat sambil berteriak, manakala seorang senior lagi hanya tegur Zara,” katanya selepas selesai prosiding hari ke-17 hari ini.
Joan berkata, saksi kanak-kanak berkenaan ketika itu turut mendengar ungkapan kata-kata kesat iaitu ‘sial’.
Saksi itu menjelaskan, ketika Zara Qairina masuk ke bilik tersebut, rakan bilik Allahyarham memeriksa almarinya dan terjumpa bendera milik senior dan ia dikatakan punca pelajar itu marah.
Joan menyatakan, saksi mengaku mengenali Allahyarham Zara Qairina, tetapi tidak rapat kerana mereka berlainan kelas.
“Saksi menyifatkan Zara seorang yang ceria, tapi tidak tahu sama ada Zara pernah kena buli, dera atau pukul semasa berada di sekolah atau asrama,” katanya.
Prosiding inkues kemudian disambung dengan seorang lagi kanak-kanak iaitu saksi ke-16 inkues yang juga saksi kelapan kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE