fbpx
Perbuatan rasuah pada akhirnya akan memakan diri, sama ada melalui pendedahan, hukuman undang-undang atau hilangnya maruah.

‘Bukan hendak kaya, cuma mahu ada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM apa juga perkara, sesuatu yang nampak menyeronokkan boleh mengawal hidup kita. Diam tak diam, sedar tak sedar kita sudah ‘diperhambakan’ atau ‘diperbudakkan’.

Daripada keseronokan bertukar ketagihan. Lebih parah menjadi obsesi. Untung rugi baik buruk kita sudah tolak ke tepi. Sudah terbiasa makan seperiuk, canggung pula menyudu dari pinggan.

Ini gambaran ketamakan. Sifat tercela ‘penagih’ ringgit dari celah sampul-sampul tauke. Sikit hari lagi habis negara digadaikan. Saya perbetulkan. Negara sudah digadaikan pun.

Budaya tamak rasuah tetap berlaku bagai tidak pernah surut. Dalam penulisan sebelum ini pun penulis pernah membangkitkan berkenaan dadah dan rasuah ‘bersaing’ masing-masing mahu menjadi musuh nombor satu negara.

Sempena kemunculan legenda power metal Jerman, Helloween di Kuala Lumpur pada 8 Disember depan penulis tertarik dengan lagu Gorgar dalam album Walls of Jericho yang diterbitkan pada 1985.

Karya yang diinspirasikan daripada mesin pinbal, Gorgar yang dikeluarkan pada 1979 oleh syarikat Williams Electronics. Mesin itu terkenal kerana menjadi mesin pinbal pertama yang boleh bercakap.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, mesej yang terkandung di sebaliknya boleh dikaitkan dengan realiti kehidupan. Gorgar digambarkan sebagai sebuah kuasa yang memikat, mencabar dan akhirnya manusia yang leka diperhambakan.

Lagu metal 80-an yang menjadi cerminan masyarakat. Sama seperti perbuatan rasuah, ia sering bermula dengan godaan kecil. Peluang untuk mendapatkan keuntungan mudah, kuasa lebih besar atau jalan pintas.

Pada awalnya, ia nampak seperti satu permainan tetapi lama-kelamaan yang terjebak akan kehilangan kawalan. Mesin Gorgar digambarkan dicipta untuk membuat pemain terus bermain tanpa jaminan kemenangan mutlak.

Begitu juga dengan rasuah, walaupun seseorang mungkin rasa dia ‘menang’ dengan cepat, hakikatnya ia hanyalah ilusi. Seperti pemain mesin pinbal yang tidak sedar masa berlalu, mereka yang sudah ketagih rasuah tidak pernah puas.

Hari ini mungkin sekadar wang kecil, esok berjuta-juta. Inilah kitaran rasuah. Setiap ‘kemenangan’ melalui rasuah sebenarnya menambah hutang moral dan sosial yang akhirnya akan memakan diri, sama ada melalui pendedahan, hukuman undang-undang atau hilangnya maruah.

Selagi budaya rasuah tidak dibendung, kita akan terus menjadi pemain dalam permainan yang telah diatur untuk kalah. Jika tidak mampu kaya sekali pun, cukuplah dengan bersyukur seadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN