fbpx
ISKANDAR

Iskandar pulang bantu perseorangan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPULANGAN bekas pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tepat pada masanya apabila dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan wanita Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi memperkukuh sektor berkenaan.

Selepas empat tahun menimba pengalaman kejurulatihan di Ireland, Iskandar, 34, kembali ke tanah air dengan misi besar membantu melonjakkan prestasi pemain wanita negara.

Menurut Iskandar, faktor utama mendorong kepulangannya adalah pujukan berterusan daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen yang memerlukan khidmatnya untuk memperkukuh barisan kejurulatihan di Bukit Kiara.

“Antara sebab utama adalah jurulatih Kenneth (Jonassen). Dia sendiri hubungi saya, selalu update dan dari situ saya rasa kemahuannya sangat besar. Saya sangat hargai perkara itu.

“Pada masa sama, saya tahu perlukan cabaran baharu untuk meningkatkan diri sebagai jurulatih dan tentunya untuk manfaat pemain juga,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Iskandar yang memulakan tugasnya secara rasmi semalam berkata, pengalaman hampir empat tahun membimbing Ireland akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki kualiti latihan pemain negara.

“Saya datang awal untuk tengok keadaan pemain dan jadual mereka. Memang saya kagum dengan sikap pemain, terutama yang sedang persiapan ke Kejohanan Remaja Dunia minggu depan.

“Untuk permulaan, dua minggu ini saya akan tengok dulu latihan sebelum berbincang dengan Kenneth. Dalam jangka panjang, fokus kami tingkatkan kemahiran taktikal serta konsistensi dalam gelanggang,” katanya.

Iskandar turut memaklumkan kini terdapat 17 pemain di bawah seliaannya termasuk sembilan senior, manakala baki lapan daripada skuad remaja.

Meskipun sudah diberi tanggungjawab mempersiapkan skuad ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, dia menjelaskan sasaran rasmi masih belum ditetapkan, namun yakin barisan terbaik akan dipersiapkan menjelang temasya itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI