PETALING JAYA – “Kemungkinan besar malam ini atau esok, kena ready (sedia) untuk pemintasan oleh penjajah haram,” demikian perkongsian sukarelawan Malaysia, Iylia Balqis Suhaimi yang menyertai misi kemanusian Global Sumud Flotilla.
Menerusi hantaran ringkas terkini pada akaun Thread, dia memberitahu kapten kapalnya telah memaklumkan sukarelawan lain untuk bersiap sedia berdepan segala kemungkinan tersebut.
“Kapten kami dah suruh semua siap sedia untuk mandi kemaskan diri. Kalau tak dipintas, sekurang-kurangnya nampak cantik dan wangi masa masuk bumi barakah, Gaza,” katanya hari ini.
Sementara itu, Iylia Balqis pada hantaran sebelum itu berkata, flotila kemanusiaan itu bukan sekadar aksi atau bantuan kemanusiaan.
“Ia bertujuan menyedarkan dunia untuk hentikan perang, hentikan kelaparan dan kebuluran, buka sempadan Rafah untuk bantuan kemanusiaan masuk. Tugas kita adalah doa, doa dan doa,” katanya.
Kosmo! melaporkan, konvoi Global Sumud Flotilla yang disertai 400 pelayar antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia dilaporkan berjaya memasuki zon kuning tahap dua, kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan atau 3 petang tadi waktu Malaysia.
Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery dilaporkan berkata, jarak terkini konvoi kini berada 227 batu nautika daripada pesisiran Gaza.
Konvoi dijangka memasuki zon merah pada pukul 7 malam esok waktu Malaysia. – KOSMO! ONLINE