PETALING JAYA – Syarikat barang kemas tempatan, PG Jewel Sdn. Bhd. (PG Jewel) membuka cawangan fizikalnya yang ke-4 di Malaysia bertempat di Taping, Perak baru-baru ini susulan permintaan menggalakkan daripada pelanggan.
Diwujudkan pada tahun 2017, PG Jewel beroperasi sebagai kedai online sebelum membuka langkah untuk membuka kedai fizikal hanya pada tahun ini, bermula daripada cawangan utama di Kota Kinabalu pada Jun lalu.
Ia diikuti cawangan fizikal kedua di Ipoh pada Julai dan cawangan ketiga di Johor Bahru pada Ogos, yang bakal diikuti dengan pembukaan cawangan seterusnya di Alor Setar pada awal November.
Ia menyasarkan untuk memiliki 200 kedai fizikal dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Pengarah PG Jewel, Jessie Ng berkata, pihaknya menghasilkan barangan kemas gred pelaburan yang bukan sahaja bergaya dan elegan untuk dipadankan dengan fesyen wanita masa kini, malah ditawarkan pada harga berpatutan disebabkan reka bentuknya yang ringan.
“Jadi semua orang dapat membeli barangan kemas bukan sekadar untuk fesyen, malah sebagai simpanan jangka panjang atau warisan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
PG Jewel menyediakan kemas kini harga emas harian masa nyata pada laman web rasminya, www.pgjewel.my, membantu pelanggan membuat keputusan termaklum dengan yakin. – KOSMO! ONLINE