PETALING JAYA – Beberapa kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa sukarelawan Malaysia antaranya Rahmat Ikhsan, Zizi Kirana, Ardell Aryana serta dua beradik iaitu Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sudah memasuki zon kuning perairan antarabangsa dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
Tinjauan Kosmo! pada akaun media sosial mereka, masing-masing memuat naik hantaran memaklumkan telah selamat berada di zon kuning dan kini hanya menunggu untuk menembusi zon merah dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Secara rasminya, kami sudah mula memasuki zon kuning. Manakala jangkaan akan masuk ke zon merah pada Khamis ini. Sedikit sahaja lagi sebelum kita berjaya melakar sejarah. Dengan izinMu ya Allah,” kata Zizi Kirana.
“Bismillah, Alhamdulillah. Secara rasminya kita telahpun memasuki zone kuning. Insya-Allah, hari Khamis berkemungkinan masuk red zone (zon merah). Doakan,” kata Heliza.
Sementara itu, semakan Kosmo! pada laman ‘Sumud Nusantara Flotilla Tracker’ Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), setakat pukul 10.54 malam ini, hampir kesemua konvoi GSF telah pun berada dalam kawasan zon kuning. – KOSMO! ONLINE