PETALING JAYA – “Semalam buat kira-kira jumlah tunggakan nafkah tiga anak saya sehingga bulan ini, rupanya dah boleh buat rumah sebiji dah.”
Demikian pendedahan seorang wanita dikenali sebagai Mizah yang kecewa dengan sikap bekas suaminya apabila segala nafkah buat tiga orang anak mereka diabaikan lelaki itu sejak 2020.
Dalam perkongsiannya, Mizah mendedahkan jumlah tunggakan nafkah tiga anaknya kini mencecah RM84,000 setakat September 2025 yang mampu digunakan untuk membina sebuah rumah.
Menurutnya, selepas bercerai, dia bukan sahaja kehilangan pasangan, malah turut kehilangan tempat bergantung sehingga terpaksa memikul dua peranan serentak sebagai ibu dan juga ayah.
“Pagi kena siapkan anak ke sekolah, kemudian berkejar ke tempat kerja. Ada masa tengah hari terpaksa ambil anak balik sekolah dan bawa sekali ke tempat kerja jika majikan izinkan.
“Malam pula masih gagahkan diri masak, basuh baju, teman anak belajar. Hidupnya penuh penat yang tak pernah habis,” luahnya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Wanita itu menambah, bapa kepada tiga anaknya langsung tidak menghulurkan nafkah walaupun satu sen, seolah-olah tanggungjawab itu terhenti selepas lafaz cerai.
“Ingatlah, cerai itu hanya putuskan ikatan suami isteri. Tapi tanggungjawab terhadap anak-anak tidak pernah terputus. Nafkah bukan pilihan, ia kewajipan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE