fbpx
Anggota polis mula menebus Budi95, semalam. Foto oleh DANIAL SAAD/ KOSMO!

Budi95: Pastikan data MyKad, lesen memandu sepadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Menjelang pelaksanaan penuh sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) esok, kerajaan menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi memastikan kelayakan tidak terjejas.

Berdasarkan analisis Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan, terdapat sebahagian data lesen memandu masih menggunakan nombor lama.

Ia seperti nombor polis, nombor tentera atau kad pengenalan lama tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.

Menurut Kementerian Kewangan, susulan itu, rakyat yang layak menerima manfaat tersebut diminta menyemak maklumat pada lesen memandu masing-masing.

“Selain memastikan lesen masih sah, pengguna juga perlu memastikan nombor MyKad 12 digit direkod dengan betul dalam lesen memandu selain nama pemegang lesen dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.

“Penyelarasan itu diperlukan kerana butiran pada lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat MyKad oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, sekiranya terdapat ketidakselarasan, orang ramai diminta hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat lesen memandu.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi Budi95,” katanya.

Dalam pada itu, hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sudah melakukan transaksi Budi95 di stesen minyak di seluruh negara.

Jelasnya, pelaksanaan hari kedua sistem Budi95 semalam dilaporkan stabil apabila ia dibuka kepada penerima STR dengan lesen memandu aktif.

“Sepanjang 28 September lalu, sebanyak RM22.9 juta pembelian direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan pengesahan MyKad di stesen minyak.

“Sistem ini akan diperluaskan kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 September (esok),” katanya.

Sejak portal Budi95 dilancarkan pada 25 September lalu, seramai 8.6 juta pengguna membuat semakan kelayakan masing-masing manfaat subsidi RON95. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI