HANOI – Taufan Bualoi menerbangkan bumbung bangunan dan menumbangkan tiang elektrik di sepanjang pantai Vietnam, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, kata pegawai tempatan dan persekutuan hari ini.
Ribut ke-10 melanda Vietnam pada tahun ini tiba di daratan lewat semalam dengan membawa angin selaju 130 kilometer sejam.
Beribu-ribu rumah dan premis perniagaan sama ada rosak atau musnah, kata pihak berkuasa di tiga wilayah kepada AFP.
Imej AFP menunjukkan bumbung bangunan diterbangkan angin kencang dan serpihan rumah berselerakan di jalan-jalan yang basah di wilayah tepi pantai Nghe An.
“Angin menerbangkan bumbung kediaman saya ke dan kemudian ia jatuh, memecahkan segalanya. Saya terpaksa menutup kepala dan bergegas ke rumah jiran untuk berlindung,” kata Trinh Thi Le, 71, di wilayah Quang Tri, tengah Vietnam.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila pusaran angin taufan melanda wilayah Ninh Binh di utara Vietnam awal hari ini, demikian menurut agensi bencana tempatan.
Seorang maut di wilayah Hue dan seorang lagi di Thanh Hoa, manakala kira-kira 20 orang hilang, lapor pihak berkuasa bencana tempatan dan nasional.
Antara mangsa hilang termasuk sembilan nelayan selepas kapal mereka terlepas tali ikatan akibat tiupan angin kencang dan hanyut ke tengah laut malam kelmarin, kata polis.
Lebih 53,000 orang dipindahkan ke sejumlah sekolah dan pusat perubatan dijadikan tempat perlindungan sementara menjelang ketibaan Bualoi, kata kementerian alam sekitar.
Empat lapangan terbang domestik dan sebahagian lebuh raya nasional ditutup hari ini manakala lebih 180 penerbangan telah dibatalkan atau ditangguhkan.
Sejak tiba Vietnam, Bualoi semakin lemah dan bergerak ke arah negara jirannya, Laos hari ini.
Ribut itu pada mulanya melanda pulau-pulau kecil di tengah Filipina minggu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan memaksa 400,000 penduduk berpindah.
Di Vietnam, seramai 175 orang terbunuh dan hilang akibat bencana alam dari Januari hingga Ogos tahun ini, kata Pejabat Statistik Am (GSO). – AFP