JOHOR BAHRU – Bekas jurugambar Utusan Malaysia, Ishak Rahmad meninggal dunia ketika berada di rumah keluarganya di Taman Kemas di sini, petang tadi.
Allahyarham Ishak menghembus nafas terakhirnya pada usia 62 tahun kira-kira pukul 6.50 petang ketika membetulkan pintu pagar rumah ibunya.
Menurut anaknya, Muhammad Harith Imanni, 28, bapanya baru tiba di Johor Bahru semalam dari rumahnya di Puchong, Selangor.
“Ayah datang ke Johor Bahru dan bermalam di rumah nenek (Taman Kemas) kerana mahu menghadiri majlis kenduri saudara di Ayer Baloi, Pontian hari ini.
“Ayah nampak ceria dan tiada sebarang perubahan dikesan cuma sewaktu kami bersembang dia berpesan supaya kami menjaga solat dan diri. Tak sangka ayah akan pergi meninggalkan kami.
“Selepas pulang dari kenduri, dalam pukul 6.30 petang, ayah membetulkan rel pagar. Dia buat kerja seorang diri di luar, tiba-tiba jiran panggil beritahu ayah rebah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Allahyarham Ishak meninggalkan seorang isteri, Latifah Ahmad, 56, dan tiga anak iaitu Muhammad Haziq Imanni, 29, Muhammad Harith Imanni dan Helena Imanina, 22.
Beliau berkhidmat sebagai jurugambar Utusan Malaysia pada 1991 sebelum mengambil Skim Pemisah Sukarela pada 2018.
Muhammad Harith berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, Skudai kira-kira pukul 9 pagi ini. – KOSMO! ONLINE














