KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Nadira mengakui sedang mengenal hati budi seorang jejaka dan bersedia untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya.
Rita atau Rita Nadira Mohd Ritamurni, 28, bagaimanapun enggan berkongsi terlalu terbuka tentang identiti jejaka tersebut, namun tidak menolak kemungkinan untuk menamatkan zaman bujang sekiranya berjodohan.
“Buat masa sekarang kami berkawan, dalam fasa mengenali hati budi dan sudah berkenalan sejak enam bulan lalu.
“Sekarang pun umur saya sudah mencecah 28 tahun. Kalau ada rezeki dan jodoh, kenapa tidak? Apa saya boleh kata, dia bukan orang industri seni.
“Ketika ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuk kahwin. Kalau nak cakap sedia bergelar isteri, saya tiada jawapan sebab perlu melalui fasa itu dahulu,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media filem Qifarah di sini, hari ini.
Pernah didakwa bercinta dengan penyanyi rap Chubb-E, Rita berkata, mereka sudah membawa haluan sendiri ketika ini.
“Status kami sekarang sudah tak berkawan rapat seperti dulu tetapi masih saling hormat menghormati antara satu sama lain.
“Tak perlulah saya kongsi bila hubungan kami sudah tidak rapat,” katanya lagi.
Tambah Rita, dia kini lebih berhati-hati untuk berkongsi hal peribadi kepada umum kerana mahu menjaga privasi kehidupan peribadi.
“Sebelum ini, saya terbuka berkongsi dengan siapa saya berkawan tetapi sekarang tidak akan terlalu berkongsi.
“Mungkin juga sekarang sudah semakin matang dan pilih untuk menjaga privasi. Iyalah, kita pun tidak tahu orang suka atau tidak,” jelasnya.
Sebelum ini, Rita sebelum ini pernah digosipkan menjalinkan hubungan istimewa dengan Chubb-E, namun dia menafikan dakwaan tersebut.
Terbaharu, perkongsian foto mesranya bersama seorang jejaka berjambang dalam media sosial mencuri perhatian ramai sehingga menimbulkan dakwaan kononnya mereka kini menjalin hubungan cinta.
Dalam perkembangan lain, Rita bakal tampil dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Qifarah arahan Ghaz Abu Bakar yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober ini.
Filem itu turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Vanida Imran, Namron dan Esma Daniel. – KOSMO! ONLINE