JAKARTA – Seorang pakar nutrisi di Indonesia mengundang perhatian ramai apabila menyarankan agar pengetua sekolah merasa hidangan makan tengah hari percuma sebelum diberikan kepada murid, lapor portal berita Lambe Turah.
“Pengetua mesti mencuba dahulu, membuka dan melihat sendiri sama ada makanan itu kelihatan pelik dari segi kesegaran, warna dan aromanya. Jika berbau busuk, jangan makan.
“Saya mendengar ada beberapa pengetua sekolah yang enggan berbuat sedemikian. Itu adalah SOP!” kata Profesor Hardinsyah semasa sidang media di Pejabat Badan Pemakanan Nasional (BGN) di Jakarta.
Kenyataan itu dibuat selepas lebih 1,000 murid jatuh sakit akibat makan tengah hari di bawah program Makanan Bernutrisi Percuma (MBG) yang dilancarkan oleh Presiden Prabowo Subianto.
Beliau menegaskan bahawa guru-guru perlu terlibat dalam program MBG untuk memahami dan mengesan tanda-tanda awal kerosakan atau pencemaran makanan.
“Jika makanan berbau busuk dan warnanya pucat sehingga membuatkan anda loya, ia tidak boleh diberikan kepada murid. Pengetua harus memeriksa dahulu.
“Pengetua sekolah harus bertanggungjawab. Mereka sepatutnya mencuba dahulu sebelum diedarkan kepada murid,” katanya. – AGENSI