fbpx
Steven Sim turun padang bertemu pihak pengurusan Masjid Taman Alma Jaya, Seberang Perai, hari ini.

Steven Sim serah peruntukan RM65,000 naik taraf dewan masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Sebanyak RM65,000 telah diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur tambahan di Masjid Taman Alma Jaya di sini, hari ini untuk dimanfaatkan komuniti setempat kata, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Steven merangkap Menteri Sumber Manusia itu turut turun padang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Machang Bubuk, Lee Khai Loon, bertemu pihak pengurusan masjid berkenaan bagi menyerahkan peruntukan tersebut.

Menurut Steven, peruntukan sebanyak RM50,000 merupakan cadangan dan permohonan pengurusan masjid berkenaan bagi mengubah suai ruang tandas lama yang tidak lagi digunakan kepada sebuah dewan mesyuarat dan serbaguna.

“Dewan ini bakal dimanfaatkan oleh anak-anak kariah sebagai ruang pertemuan, aktiviti komuniti dan juga bagi pelaksanaan program-program keagamaan.

“Pihak masjid telah memaklumkan bahawa mereka masih memerlukan dana tambahan sebanyak RM17,000 untuk kelengkapan perabot, sistem penghawa dingin dan sistem audio bagi melengkapkan dewan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Justeru, sebagai tanda sokongan berterusan, Steven telah bersetuju untuk menambah lagi RM15,000 manakala Khai Loon turut menyumbang sebanyak RM3,000 bagi menampung keperluan tersebut.

Beritahu beliau lagi, Masjid Taman Alma Jaya yang berusia 25 tahun merupakan antara institusi keagamaan paling besar di Pulau Pinang.

“Ia meliputi 35 kawasan perumahan dan memberikan perkhidmatan kepada lebih 20,000 penduduk beragama Islam di kawasan tersebut.

“Masjid ini juga telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja penukaran bumbung masjid yang telah uzur, sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf kemudahan demi keselesaan jemaah,” jelasnya.

Tambahnya, komitmen tersebut telah mencerminkan keprihatinan para pemimpin terhadap pembangunan institusi keagamaan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Pihak masjid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan dan berharap agar usaha ini menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kemajuan ummah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN