MELAKA – Persembahan tarian zapin oleh 3,224 penari sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Encore, Klebang malam tadi berjaya mencatat rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR).
Detik bersejarah itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama lebih 150 delegasi pelancongan dunia yang turut hadir bagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Tarian berkenaan dipersembahkan menerusi empat lagu tradisional yang berlangsung kira-kira 20 minit, diikuti gimik perasmian dengan 1,000 dron membentuk pelbagai formasi pelancongan termasuk logo rasmi TMM2026.
Sijil pengiktirafan telah diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christoper Wong Hong Wai kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.
Kemuncak sambutan TMM2026 kemudian diserikan dengan persembahan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar serta nyanyian lagu ikonik negeri, Senandung Anak Melaka.
Terdahulu, bertemakan ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’, WTD 2025 menyasarkan 16.5 juta pelancong dengan unjuran hasil RM23.48 bilion, sekali gus mengukuhkan Melaka sebagai hab pelancongan serantau.
Sepanjang karnival, lebih 200 program sampingan dianjurkan termasuk Pesta Konda-Kondi, Karnival Usahawan, Pesta Layang-Layang Antarabangsa, Visit Malaysia Travel Meet dan bengkel kraftangan.
Majlis itu turut diserikan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta delegasi daripada 159 buah negara.- KOSMO! ONLINE