fbpx
ANTONELLI turut mendapat pujian Wolff disebabkan kebangkitan prestasinya di GP Azerbaijan baru-baru ini. - AFP

Masalah simulator jejas prestasi Antonelli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Mercedes mendedahkan bahawa masalah kegagalan sistem simulator menjadi sebahagian punca kemerosotan prestasi pelumba muda mereka, Kimi Antonelli dalam dua perlumbaan terakhir Formula Satu (F1).

Antonelli, 19, berdepan kesukaran membuat persiapan apabila simulator Mercedes tidak berfungsi dengan baik pada Grand Prix (GP) Belanda dan Itali, namun Antonelli bangkit menamatkan saingan tempat keempat di GP Azerbaijan.

Pengarah Litar Mercedes, Andrew Shovlin berkata, kesan daripada masalah itu menyebabkan Antonelli terlibat insiden dengan pelumba Ferrari, Charles Leclerc sebelum menamatkan saingan di tempat ke-16 di Zandvoort, manakala di Monza pula di kedudukan kesembilan.

“Di Zandvoort, dia datang untuk turut menguji sesi simulator, tetapi kami mengalami beberapa isu dan Antonelli tidak dapat melakukan persiapan seperti biasa.

“Dia kemudian melakukan kesilapan pada FP1 (sesi latihan bebas). Saya rasa kami perlu bertanggungjawab sedikit kerana dia tidak dapat membuat persiapan normal,” kata Shovlin.

Bagaimanapun, Antonelli kembali bangkit dengan catatan terbaiknya sejak Kanada apabila menamatkan saingan di tempat keempat pada GP Azerbaijan selepas menikmati sesi simulator penuh.

Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff turut memuji kebangkitan pelumba Itali itu selepas mengkritik prestasi hambarnya di Monza sebelum ini.

“Ia satu kebangkitan hebat selepas Monza dan kedudukan keempat di Baku adalah asas kukuh untuk dia bina keyakinan serta prestasi,” kata Wolff. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI