KUALA LUMPUR – Operasi beberapa stesen transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) termasuk Monorel dilanjutkan sehingga pukul 12.30 tengah malam sempena perlawanan Piala Sultan Selangor (PPS) di Stadium Merdeka, hari ini.
Rapid KL memaklumkan, ia membabitkan Stesen Plaza Rakyat dan Hang Tuah bagi LRT laluan Ampang/Sri Petaling, Monorel (Stesen Hang Tuah), manakala bagi MRT melibatkan Stesen Maharajalela dan Merdeka.
“Stesen-stesen sambungan lain juga akan dibuka bagi membawa penumpang ke destinasi terakhir masing-masing.
“Orang ramai turut disaran menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan baki mencukupi untuk melancarkan perjalanan selepas tamat perlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my.
PSS edisi ke-21 kembali menggegarkan Stadium Merdeka dengan pertembungan klasik antara pasukan Selangor dan Singapura sekali gus menghidupkan semula nostalgia bola sepak serantau.
Pengerusi dan Pengurus Pasukan PSS 2025, Tan Sri Abd Karim Munisar dilaporkan berkata, kejohanan itu dianjurkan bukan sekadar hiburan, tetapi untuk mengekalkan legasi bola sepak lama yang pernah mencetus fenomena. – KOSMO! ONLINE.