PETALING JAYA – Media rasmi Israel dilaporkan mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan serangan terhadap kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan semua sukarelawan yang terbabit.
Menurut laporan yang disiarkan di Saluran 12, rejim Zionis itu memaklumkan akan mengerahkan pasukan komando elit laut mereka, Shayetet 13, yang terkenal dengan kepakaran operasi ketenteraan, kerahsiaan identiti serta tindakan keras tanpa belas kasihan.
Israel turut mendakwa, selepas menawan kapal-kapal GSF, semua sukarelawan akan ditahan dan dipindahkan ke sebuah penjara terapung terbesar di dunia, iaitu kapal khas yang dijadikan pusat penahanan.
Pada masa sama, Israel memberi amaran bahawa para sukarelawan GSF akan dipenjara dalam tempoh lama sekiranya mereka berkeras untuk meneruskan pelayaran ke Gaza selain bot-bot ditenggelamkan atau diambil alih sebagai aset tentera laut rejim berkenaan.
Bagaimanapun, rata-rata peserta GSF turut memuat naik hantaran balas menegaskan bahawa mereka tidak akan berganjak dan tetap komited untuk meneruskan pelayaran bagi menembusi sekatan rejim Zionis demi memastikan bantuan dapat diberikan buat rakyat Palestin di Gaza.
“Kami serahkan segala-galanya kepada mu ya Allah. Teruskan bercakap tentang Gaza. Mohon doa semua,” kata peserta GSF dari delegasi Malaysia.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Malaysia akan mengutamakan usaha koordinasi keselamatan dengan kerjasama negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan semua 34 peserta delegasi Malaysia selamat dibawa pulang.
Sebelum ini, media melaporkan, kapal-kapal dalam armada flotila kini berada pada jarak kurang daripada 1,000 kilometer (bersamaan 621 batu) dari Semenanjung Gaza (enklaf Palestin), sementara mereka masih meneruskan misi untuk mencabar sekatan yang telah lama dikenakan oleh Israel. – KOSMO! ONLINE