PETALING JAYA – Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel), aplikasi pengisian bahan api dan mobiliti akan memberikan akses mudah kepada rakyat Malaysia yang layak untuk program Budi Madani RON95 (Budi95) bermula 30 September 2025.
Melalui pengesahan akaun yang hanya perlu dilakukan sekali sahaja dalam aplikasi, pengguna boleh mengisi minyak di lebih 1,000 stesen Petronas tanpa perlu pengesahan MyKad secara manual pada setiap transaksi.
Selepas pengesahan dilakukan, pengguna boleh menikmati manfaat tambahan di dalam ekosistem Setel.
Ciri seperti pengisian One-tap membolehkan pengaktifan pam terus dari kenderaan, manakala Setel Lite memberikan pengalaman lancar yang sama pada telefon mudah alih yang lama.
Setiap transaksi juga akan memperoleh sehingga tiga kali ganda mata ganjaran Mesra Rewards, memberikan nilai tambah pada setiap liter.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, penambahbaikan itu merupakan usaha pihaknya untuk menyokong gaya hidup digital yang selaras dengan rutin masyarakat.
“Keutamaan Setel adalah untuk memberi kemudahan dengan menjadikan pengisian bahan api lebih lancar dan pantas bagi rakyat Malaysia.
“Dengan pengesahan akaun sekali sahaja di aplikasi Setel, pengguna boleh terus ke pam tanpa perlu beratur dan memperoleh ganjaran untuk setiap transaksi.
“Kami akan terus mengutamakan inisiatif yang boleh memanfaatkan serta memberi nilai kepada pelanggan kami bagi setiap keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE