KOTA TINGGI – Seorang pekebun berputih mata apabila kerugian lebih RM100,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan bagi membeli sebuah kereta dalam talian, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa, semalam berhubung kes penipuan pembelian kereta secara dalam talian yang tidak wujud melalui aplikasi Facebook.
“Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM110,840 selepas melakukan 17 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun penerima.
“Kes bermula pada awal bulan ini apabila mangsa melihat satu iklan menjual kereta terpakai jenis Toyota Vios tahun 2024 berharga RM49,000.
“Mangsa bersetuju untuk membeli kereta itu dan telah diminta untuk membuat beberapa bayaran secara dalam talian yang dikatakan wang untuk deposit, pendaftaran dan lain-lain proses pembelian kereta itu sehingga harganya mencecah RM110,840,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Yusof berkata, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila berasa curiga kerana harga yang sudah dibayar untuk kereta berkenaan melebihi harga yang diiklankan.
Katanya, mangsa kemudian hadir ke balai polis untuk membuat laporan dan mengesahkan kerugian yang dialami adalah sebanyak RM110,840. Kita disiaat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE